Sunday 30 December 2012

Udang Tumis Petai


source: staranisecafe.blogspot.com
preparation time: 25 minit
serve : 2 orang

Bahan
10 ekor udang (M)
2 inci halia - hiris kasar
1batang serai - ketuk
1 biji bawang (M) - potong baji
3 ulas bawang putih - cincang
4 biji cili padi - ketuk
1 biji lada hijau-hiris
1 sudu sos tiram
2 sudu besar kicap masin
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
1/4 cawan petai
1 sudu besar minyak

Cara
1. Tumis halia, serai, bawang, cili, petai hingga wangi
2. Masukkan sos tiram dan kicap masin.
3. Masukkan udang. Kacau kilas.

Saturday 29 December 2012

Siakap kukus Tom yam


source: staranisecafe.blogspot.com
preparation time: 25 minit
serve : 2 orang

Bahan
1 ekor ikan siakap (M)
1 biji bawang (M)- belah empat
2 inci halia - hiris kasar
2 batang serai - hiris kasar
4 biji cili padi - ketuk
2 kiub pati tomyam
2 sudu besar kicap masin
Daun limau purut - hiris
1-2 cawan air

Cara
1. Masukkan semua bahan (kecuali ikan). Biar mendidih.
3. Masukkan ikan. Tutup periuk. Perlahankan api. Masak dalam 15-20 minit.


Nota:
1. Kaedah di atas adalah paling mudah dan banyak di pakai di gerai iaitu rebus kukus.
2. Boleh juga guna kaedah kukus sepenuhnya iaitu tuangkan kuah atas ikan dan kukus hingga masak.
3. Atau kukus ikan terlebih dahulu dan curahkan kuah kemudian.

Thursday 27 December 2012

Kek Coklat Padat (Tanpa Telur)




Source: staranisecafe.blogspot.com
Preparation time: 1 hour
Serve: 10
Inspired from: Dayang Jack

Bahan A
1 ¼ cawan tepung
½ cawan serbuk koko
¾ cawan gula – kisar halus
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil garam

Bahan B
1 cawan susu coklat
1 tiub serbuk Nescafe
1 sudu kecil chocolate emulco

Bahan C
1/3 cawan susu coklat
1/3 cawan minyak sayur
1 sudu kecil esen vanilla
2 sudu kecil madu cuka

Cara
Ayak bahan A tinggi-tinggi
Panaskan bahan B
Kisar bahan C atau kacau sebati je
Tuang bahan cair (kecuali madu cuka) ke dalam bahan kering.
Kaup balik hingga sebati. Masukkan madu cuka dan kacau cepat-cepat. Tapis jika perlu.
Bakar 30 minit suhu 170 darjah celcius
Sejukkan dalam peti sejuk sebelum di makan. Yummeh!

Tips:
Bila bahan B di panaskan ia akan menjadi pekat dan kuantitinya berkurangan. Tambahkan susu coklat hingga jadi satu cawan.
Susu coklat tu boleh je di campur panas2 atau sejuk ais.
Adunan sedikit cair.

Tuesday 25 December 2012

Hebat tak?

Wahhhh........
Sekarang ni itu je soalan yang ditanya bila berjaya buat sesuatu.....

m: Mak...cuba tengok ni....Myya lompat macam spiderman....(sambil buat aksi melompat tungga tebalik!)
M: Wow! Pandainya....
m: hebat tak? hebat tak?
M: Ouuiiiiihhhhh...hebatttttttt!

m: Ayah...tengok ni.....
A: Amboi....cantiknya...siapa yang warna ni?
m: (Tunjuk-tunjuk diri sendiri sambil senyum simpul dan angkat-angkat kening)
A: Awesome!
m: Hebat tak?
A: Mestilah hebattt.....sama macam ayah...(ayah pun tak nak ngaku kalah)....
m: Hmmm Myya hebat....Ayah hebat...Mak pun hebat.....

Nampak tak!
Myya memang hebat!

Monday 24 December 2012

Tiada Pilihan Hati

Masa kecik2 dulu kita selalu di tanya siapa pilihan hati...
Sayang mak?
Atau Sayang ayah?

Memang susah buat pilihan....
Sebab biasanya ada statement ugutan selepas soalan tu....
Kalu sayang mak...tak payahlah ikut ayah ke kedai...
atau kalau sayang ayah..tak dapatlah makan ayam masak kicap ni....
Aduhhhh...pening kepala.....nak buat pilihan....
Biasanya pilihan akan dibuat pada ganjaran yang lebih menarik...hehehehe

Tapi kini...
Tak payah lah nak coba-coba tanya siapa pilihan hati Myya...
Bila minta dipilih dia akan pilih dua dua sekali...

m: Mak...mana ayah? Tak balik2 pun....
M: Asyik tanya ayah je dari tadi...kan ayah pergi kerja...
m: lambat sangat ayah ni pergi kerja (padahal ayah baru pergi setengah jam)
M: kenapa? Lebih suka duduk dengan ayah ke?
m: Myya nak ayah. Myya nak mak.....
M: Pilih satu je....
m: Myya nak ayah...Myya nak mak....
M: kalau pilih dua-dua, sapa nak pi kerja?
m: Myya nak ayah...Myya nak mak.....

Ha...nampak! Dia tak akan pilih satu je.....

A: Ayah nak ke kedai kejap. Myya duduk dengan mak ya....
m: Myya nak ikut..bawak mak....
M: tak payah lah....ayah pi kedai kejap je....
m: Myya nak ikut ayah....nak ikut mak.....
A: Ayah sorang je pergi.....
m: Myya ikut...mak ikut.....

Ha....dengan aku sekali kena ikut....bawa pi shopping takpe gak....ni nak pi kedai beli suratkhabar je pun...

Kalau tak.....semua tak payah pergi.....

Tak pun...ayah malas layan...dia tinggalkan je anak bini....anak meraung pun buat dhek.....

Tak pun...mak pura-pura sakit perut.....minta kirim beli tepung sekali....(ntah apa kena mengena dengan sakit perut)....Myya tengok mak sakit je, cepat-cepat ajak ayah ke kedai beli tepung buat ubat, kalau tak pun dia sendiri suruh ayah pergi dan dia tinggal nak jaga mak....

Tak pun....mak bagi je duit sehinggit dua minta dia belikan aiskrim...sukalah dia dapat cabaran....mak pulak konon nak ajar anak berdikari tahu kira duit....tapi bila balik..dia beli aiskrim tapi ayah yang bayar...duit yang bagi tadi dia masuk tabung...hmmmm bijak!

Memang mencabar la jugak kena jadi mak bapak sekarang ni....kena kreatif....

Sunday 23 December 2012

Myya Ke Sekolah...Persediaan

Tahun ni Myya dauh berumur 5 tahun....
Kalau di kira bulan masih lagi awal 4 tahun sebenarnya....
Bulan October 2012 hari tu ayah dah registerkan Myya untuk ke sekolah...
Bila di bawa Myya ke sana...
Waahhhhh bukan main seronok!
Siap cakap nak masuk sekolah hari tu jugak!
Sabar ye nak......

Bulan November..
Myya tak berhenti menyebut nak ke sekolah...
Mak dan Ayah cuma bagi alasan baju sekolah belum siap...
Myya terima je alasan tu walaupun mulut bising marahkan cikgu lambat jahit baju....
Ih ih...kesian cikgu...

Bulan Disember...
Minggu ke tiga cikgu cakap baju dah siap....
Myya dah tak nak pergi rumah opah lagi....
Asyik cakap nak ke sekolah je....

Tapi mak ni yang risau tau tak.....

M: Myya tak takut ke nak pi sekolah ni....
m: Tak...Myya suka....
M: Tapi mak risau la.....(sambil pura2 nanges...propa giler!)
m:Dah dah dah...mak jangan nangis ye...nanti Myya pulang le...(pujuk baik punya!)
M: Tapi mak risau la....nanti mak rindu Myya (ntah apa punya alasan...)
m: Mak, kawan-kawan Myya kat sekolah nanti, mak ayah dia pun kerja jugak...

Ha!Kau!
Sentap!

Saturday 22 December 2012

Humang Aih! Sojuk Bonar!

October 2012

Kat mana?
Kutub? Negeri orang putih?

Eh! tak lah.....
Dekat je ni......
Snow House I-City Shah Alam je....
Dengan RM25 per person.....bekukan diri anda selama mana anda mahu....
-5 darjah tu oiiiii.....
Tapi Myya suka je......
Layannnnnn........









Thursday 20 December 2012

Zaman tentukan sikap anak


Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Biarpun dilahirkan dalam generasi berbeza, sebagai manusia kita mempunyai banyak persamaan.
Misalnya golongan veteran ialah nenek moyang kepada generasi X manakala Baby Boomer ialah datuk dan nenek atau ibu bapa kepada generasi Y dan Z.
Hari ini, kebanyakan generasi X sudah berumah tangga dan mempunyai anak-anak yang mewakili generasi Z, iaitu berusia di antara tiga tahun hingga 17 tahun.
Ada sesetengah pihak mendakwa generasi Y dan Z adalah anak-anak yang dimanjakan ibu bapa serta dipenuhi keperluan mereka, manakala pihak lain mengatakan generasi Y dan Z sangat kreatif, berakal dan berkeyakinan.
Namun bagaimana membentuk persekitaran golongan Y dan Z? Ini kerana rata-rata ibu bapa dibesarkan dalam persekitaran berlainan iaitu fasa kesukaran, berbeza dengan generasi berinternet Y dan Z yang seolah-olah hidup dalam dunia mereka sendiri. Bagi ibu bapa, mungkin sukar memahami apa yang anak-anak mahukan sehingga mencetuskan jurang antara mereka.
Menurut perunding keibubapaan yang juga penulis buku Mendidik Generasi Y dan Z, Jamilah Samian, ibu bapa harus mengetahui latar belakang era ketika anak dilahirkan. Ini kerana dengan memahaminya, mereka dengan lebih jelas menyediakan ruang dan peluang bagi mendedahkan anak-anak dengan pendidikan yang lebih sistematik, bersesuaian dengan perasaan mereka.

“Apa yang ibu bapa perlu tahu, generasi Y dan Z hidup dalam zaman yang semua perkara mampu dilakukan dalam masa singkat. Golongan ini makan di restoran makanan segera, mengunjungi pusat pelangsingan badan, makan pil kurus atau mahukan maklumat dalam masa yang pantas hanya dengan menekan kata kunci Google atau Wikipedia. Malah, mereka tidak perlu menyimpan duit mendapatkan sesuatu kerana semuanya mampu diperoleh menggunakan kad kredit,” katanya.

Keunikan generasi Y dan Z ini semakin jelas apabila mereka dibesarkan dalam zaman digital sehingga mereka makan dan tidur sambil melayan laman sesawang.
Secara tidak langsung, Internet meninggalkan kesan yang besar dalam kehidupan.
Pengaruh facebook dan twitter mempercepatkan perkembangan fikiran anak-anak menjadi lebih dewasa, e-mel pula merubah sepenuhnya cara golongan ini berkomunikasi antara satu sama lain.

Begitu juga YouTube yang membolehkan sesiapa saja berkongsi video secara terus untuk tatapan umum manakala sistem pesanan ringkas (SMS) memainkan peranan sangat penting meringkaskan perbualan menjadi padat dan pantas sehingga mengurangkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan rakan. Blog pula kini menjadi media utama dan diari anak remaja meluahkan apa saja yang terbuku di hati mereka.

“Keadaan ini menyebabkan sesiapa juga tidak mampu menolaknya kerana golongan Y dan Z serta generasi Alpha ini akan hidup dan bernafas dalam era teknologi.
Semakin muda umur mereka, semakin mudah mereka menerima barangan digital kerana dibesarkan dalam persekitaran terbabit dan sudah sebati dalam kehidupan seharian.

“Justeru, jangan terkejut sekiranya seawal usia tiga tahun, anak-anak sudah mahir menggunakan iPad dan telefon genggam serta mencari permainan video menerusi kata pencarian Google,” jelas Jamilah.

Namun kesannya apabila ibu bapa ketinggalan untuk sama-sama memahami perasaan anak-anak ketika ini akan wujud jurang komunikasi antara mereka sehingga boleh mencetuskan perbalahan jiwa sekiranya tidak dirungkai sebaiknya. Ini kerana generasi Y dan Z saban hari didedahkan dengan budaya ganjaran segera. Mereka dibesarkan dengan pemikiran ‘saya mesti dapatkannya sekarang’.

Ini disebabkan faktor persekitaran dan cara pembesaran ibu bapa yang menyediakan keperluan anak-anak tanpa perlu menunggu lama. Namun kajian menunjukkan anak-anak yang tidak dapat bersabar menunggu untuk mendapat apa yang dihajati sangat sukar untuk berjaya dalam hidup.

Justeru, apa yang boleh dilakukan penjaga adalah dengan menerapkan budaya ganjaran tertangguh kepada anak-anak. Kesenangan tertangguh tidak bermakna anak-anak tidak boleh mendapat apa yang dikehendaki mereka sebaliknya tidak untuk masa sekarang.

“Sekiranya ibu bapa mengajar budaya ganjaran segera kepada generasi Y dan Z, apa yang dilihat hanya apa yang ada di hadapan mereka dan bukannya lebih daripada itu. Mereka menyangka semua boleh didapati tanpa perlu menanti. Dalam hal ini, ada empat perkara yang perlu dipelajari iaitu bijak menunggu untuk mendapatkan wang sebelum membeli apa yang dihajati, berusaha mendapatkan apa yang diingini, menjaga kesihatan kerana ia amat penting dan belajar mewujudkan perhubungan mesra dengan keluarga,” jelasnya.

Selain itu, generasi Y dan Z juga cenderung memilih barangan mewah untuk menjaga imej disebabkan cara mereka dibesarkan dengan melihat kehidupan ibu bapa yang turut mementingkan jenama. Sepatutnya sejak kecil, anak-anak diajar mengenai nilai wang serta cara menyimpan sebelum berbelanja. Ini boleh dilakukan dengan mendidik mereka menabung dan berkongsi sebelum berbelanja.

Menurut Jamilah, mendidik generasi Y dan Z bukan hanya mendedahkan sifat sabar menanti ganjaran namun diterapkan dalam aktiviti seharian. Misalnya sejak kecil, asuh mereka menyelesaikan kerja rumah atau sekolah sebelum menonton televisyen atau bermain di taman. Jika mereka berjaya melakukannya, hargai usaha dengan mengeluarkan kata-kata semangat berbentuk motivasi. Jangan sesekali membuatkan mereka rasa terpinggir atau terasing.

“Kata-kata motivasi meninggalkan kesan ajaib kerana anak akan lebih terdorong untuk berusaha terutama dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran seperti menolong ibu memasak, berkebun, membaiki kereta atau motosikal. Sekiranya tidak diberi galakan, kemungkinan dia akan berhenti begitu saja.

“Begitu juga ibu bapa disaran tidak melabelkan kata negatif kerana boleh mengganggu pemikiran anak-anak. Pada masa sama, perkataan negatif membantutkan tumbesaran fikiran dan emosi mereka,” jelasnya.

Apa yang penting, ibu bapa harus sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak walau sesibuk mana sekali pun mereka. Misalnya dengan perkembangan Facebook, ibu bapa boleh menghantar status atau mesej bertanyakan perkembangan anak remaja dengan menjadikan mereka sahabat di alam maya, begitu juga dengan e-mel atau SMS.
Gunakan sepenuhnya apa yang menjadi kesukaan anak-anak.

Selain itu, makan bersama keluarga pada setiap malam sememangnya waktu sesuai mewujudkan hubungan erat. Ini kerana ketika ini bapa boleh bertanya masalah di sekolah dan anak bebas bercerita apa yang mereka ingin luahkan tanpa ada perasaan sangsi atau takut.

“Sebolehnya cari masa walaupun anda sibuk di pejabat kerana suasana santai di rumah mampu memberikan ruang komunikasi yang lebih efektif kepada anak-anak.
Mereka juga akan berasa sentiasa dihargai ibu bapa,” katanya.

Paling penting, kukuhkan silaturahim dengan ahli keluarga seperti sepupu, ibu dan bapa saudara, datuk atau nenek kerana hubungan yang terjalin ini akan memberikan nilai kekeluargaan yang bermakna kepada anak-anak. Mereka juga akan menjadi lebih bermotivasi melakukan sebarang perkara termasuk dalam pelajaran.

“Apa yang boleh dilakukan dengan perkembangan teknologi maklumat, setiap ahli keluarga boleh saling berhubung antara satu sama lain sama ada menerusi e-mel, Facebook, SMS atau Twitter. Tiada alasan mewujudkan jurang antara keluarga.

Jika boleh lakukan aktiviti keluarga setahun sekali supaya dapat mengeratkan perhubungan antara satu sama lain. Bagi keluarga baru, ajar anak-anak melakukan solat berjemaah kerana pelbagai kesan positif dapat diperoleh daripadanya,” katanya.


Anda tahu seseorang itu generasi Y dan Z apabila:
·  Bercakap menggunakan perkataan tertentu seperti ‘yo’, ‘bro’ atau ‘yosh’.
·  Boleh menggunakan iPad yang baru dibeli kala anda masih terkial-kial menggunakannya.
·  Membuat tugasan kolej atau universiti sambil bersembang dengan rakan lain di alam maya, mendengar lagu yang dimuat turun dan pada masa sama turut makan sandwic.


Panduan mendidik supaya anak sabar:

1. Selesai kerja rumah baru menonton televisyen.

2. Hargai usaha yang dilakukan anak-anak.

3. Reka kad ucapan terima kasih untuk ibu bapa atau guru kesayangan mereka.

4. Ajar anak supaya tidak terlalu terburu-buru.

5. Melatih membaca buku sebagai ganjaran tertangguh. Ini boleh dimulakan dengan:

  • Bacakan buku ketika sedang menyusukan anak dan sehingga mereka faham.
  • Mengadakan pertandingan membaca di rumah dan memberikan ganjaran bagi anak-anak yang berjaya menghabiskan buku yang dibeli.
  • Membaca buku mengikut bab demi bab.
  • Membawa anak-anak ke pesta buku dan biarkan mereka memilih buku pilihan mereka.
  • Pastikan ada buku di dalam kereta.
  • Dapatkan siri buku kegemaran anak pada setiap bulan.
  • Beli buku secara dalam talian.
  • Bina ruang membaca di rumah.
  • Dapatkan E-Book.
  • Pertimbangkan bahan bacaan komik selain buku atau majalah berilmiah.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18

Wednesday 19 December 2012

Atasi Anak Meragam


Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

MENANGIS atau meragam sudah menjadi sifat semula jadi bayi yang normal. Kita tidak boleh mengharapkan anak yang sentiasa ceria dan tidak membuatkan ibu bapa pening menangani pelbagai kerenah mereka.
Menangis juga satu cara bayi berkomunikasi dengan penjaga kerana mereka masih tidak pandai meluahkan perasaan dengan kata-kata.
Menjaga bayi menuntut kesabaran yang tinggi kerana jika tidak, ibu bapa boleh hilang sabar dan ada yang bagaikan hilang kewarasan diri sehingga sanggup mendera anak sendiri.

Dengan pelbagai tekanan dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi setiap hari, kerenah anak yang menangis atau meragam apatah lagi pada malam hari memang boleh menyebabkan ibu bapa hilang sabar.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita tidak sepatutnya melepaskan kemarahan atau segala beban seharian terhadap anak kecil yang tidak berdosa dan mengerti apa-apa. Sebaliknya kita harus belajar untuk menjadi ibu bapa terbaik sekali gus memahami keadaan si kecil yang sering meragam itu.

Buat ibu bapa dan penjaga, teknik menangani bayi yang meragam dan sering menangis ini boleh dijadikan panduan:


1. Bersikap tenang
Perkara terbaik yang boleh dilakukan ibu bapa apabila anak meragam atau menangis dengan nyaring ialah bersikap tenang dan bukannya memarahi anak dengan suara yang tinggi.

Apabila tekanan dalam diri ibu bapa meningkat, anak juga akan menjadi bertambah tertekan, menyebabkan usaha menenangkan bayi tidak akan tercapai.


2. Periksa lampin bayi
Bayi menangis kerana pelbagai sebab, antaranya mereka tidak selesa apabila lampin sudah terlalu penuh atau mereka baru saja membuang air besar.

Jadi, apabila anak menangis, cuba periksa lampin untuk pastikan masalah anak mena–ngis bukan berpunca daripada lampin. Sekiranya basah lencun atau kotor, salin lampin supaya bayi lebih selesa.


3. Periksa suhu badan bayi
Kadangkala bayi menangis apabila dia berasa terlalu sejuk atau terlalu panas.
Mungkin ibu bapa boleh memegang tangan atau kaki anak untuk memastikannya.

Sekiranya sejuk, pakaikan baju yang menutup tubuh dan lebih tebal. Namun sekiranya panas, cuba gunakan termometer bagi memeriksa suhu bayi.


4. Kembung perut
Bayi selalu mengalami masalah kembung perut. Oleh itu, ibu bapa perlu memeriksa dengan menepuk lembut dengan jari bagi memastikan anak mereka mengalami masalah kembung perut. Sekiranya benar, sapukan minyak angin pada perut bayi untuk melegakan perutnya.


5. Beri susu atau makanan bayi
Sekiranya semua perkara di atas tiada pada bayi, kemungkinan besar dia lapar.
Tawarkan minuman atau makanan pada bayi. Ibu bapa perlu mempunyai jadual dan mengingati masa makan atau minum anak mereka.

Jangan ambil mudah kerana selain senang meragam akibat lapar, tumbesaran bayi juga boleh terjejas jika tidak mendapat zat mencukupi.


6. Bayi mengantuk
Bayi juga akan meragam dan menangis jika mengantuk. Selalunya mereka hanya
mahu didodoi oleh ibu atau bapa dan sebaik dipeluk, mereka menjadi tenang dan tidur dengan mudah.

Pelukan daripada ibu bapa bukan saja dapat menenangkan bayi, malah ia mampu menyalurkan kasih sayang yang sangat diperlukan oleh bayi untuk membesar dengan sempurna.


7. Mahu bermanja
Adakalanya bayi hanya mahu didukung, dipeluk, dilayan atau diberi perhatian penuh oleh ibunya. Bayi sememangnya manja dan mahu dibelai ibu.

Banyak kajian menunjukkan belaian daripada ibu bapa dapat meningkatkan sistem pertahanan bayi, membantu menstabilkan emosi, membantu selera bayi dan menjadikan anak mereka lebih ceria.


8. Alih perhatian bayi
Apabila anak menangis atau meragam tanpa dikenal pasti puncanya, antara kaedah yang boleh digunakan ialah mengalihkan perhatiannya.

Ada kemungkinan bayi itu bosan justeru, ibu bapa boleh menghiburkan bayi mereka. Lakukan perkara yang boleh membuat bayi ketawa seperti membuat aksi melucukan atau membawanya keluar bersiar-siar melihat sekeliling selain berbual-bual dengan bayi supaya mereka rasa disayangi.


9. Ubah cara dukung
Sesetengah bayi mempunyai posisi dukung yang digemarinya. Jika anak sukakan posisi tegak di bahu, jangan baringkan dia ketika mendukungnya kerana bayi pasti akan menangis.

Apabila menegak, bayi boleh melihat keadaan sekelilingnya dengan lebih baik seolah-olah berjalan dan ia penting bagi proses pembelajarannya.


10. Hiburkan bayi
Biarpun nyanyian anda sebenarnya sumbang namun bagi bayi anda, andalah penyanyi terhebat. Oleh itu, gunakan kesempatan ini untuk menyanyikan pelbagai lagu lembut kepadanya terutama lagu yang mempunyai unsur pendidikan kerana anak akan mengikut nyanyian sambil belajar dan pada masa sama, dia akan tenang dan berhenti menangis.


11. Menari bersama bayi
Ini antara teknik yang boleh dilakukan sekiranya ia dapat membuatkan anak anda
tersenyum serta membuatkannya berhenti menangis. Ajak anak menari dengan gaya yang disukai kanak-kanak seperti tepuk tangan, supaya mereka terhibur tetapi pada masa sama, berasa rapat dengan anda.


12. Tukar pakaian bayi
Ada fabrik yang kasar pada kulit bayi hingga menimbulkan rasa tidak selesa dan
akhirnya bayi menangis. Oleh itu, tukar pakaiannya kepada yang lebih selesa dan pastikan pakaian bayi diperbuat daripada fabrik lembut dan tidak panas seperti kain kapas.


13. Mandikan bayi
Bayi yang meragam sepanjang hari mungkin berasa tidak selesa atau ruam akibat lampin. Mandikan bayi dengan sabun yang mengeluarkan bau menenangkan dan sapukan tubuhnya dengan losen atau minyak mineral yang menghindarkan masalah ruam.


14. Urut bayi
Mengurut antara cara untuk menenangkan bayi. Sentuhan kulit ke kulit bukan saja menenangkan bayi tetapi hubungan ibu bapa dengan anak juga menjadi semakin rapat.


15. Kurangkan rangsangan sekeliling
Terlalu banyak rangsangan di sekeliling boleh membuatkan bayi terganggu, seterusnya menangis dan meragam. Bagi menenangkan bayi, cuba malapkan cahaya lampu, asingkan permainan yang banyak dan mengurangkan bunyi bising.


16. Bedung bayi
Bagi bayi kecil, mereka berasa tenang dan selamat apabila dibedung dengan kain dan dipeluk ibu bapa. Ini kerana bagi si kecil ini, keadaan yang terbuka menakutkan mereka. Oleh itu, sebaik-baiknya bedung bayi kecil, bukan saja mereka akan berasa hangat, ia juga membantu bayi tidur dengan lebih nyenyak.


17. Gunakan bunyi menenangkan
Ada sesetengah bunyi mampu menenangkan bayi apabila ia berbunyi terus-terusan contohnya bunyi kipas berputar atau bunyi kerincing angin yang digantung di tempat berangin.


18. Beredar dan menenangkan diri
Sekiranya semua cara yang dilakukan tidak mampu menenangkan bayi dan anda mula hilang sabar, tinggalkan sekejap bayi anda di tempat yang selamat dan tenangkan diri terlebih dulu.

Berfikir positif dan memahami bayi anda tidak melakukannya dengan sengaja kerana dia tidak memahami apa-apa dan masih kecil.


19. Bawa bayi bertemu doktor
Anda juga boleh membawa bayi bertemu doktor kanak-kanak bagi membuat pemeriksaan untuk memastikan tangisan bayi bukan berpunca daripada masalah kesihatan yang serius.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18

Thursday 13 December 2012

Big Bad Wolf Book Sale 2013



7 Dec – 23 Dec 2013

Woooooooooooooooooo
Serigala pelik ni dah kembali…..
Nama je jahat tapi murah hati oooooooo
Kenapa?
Sebab jimatkan duit kaki buku hingga 95% oooooo
Memang hilang akal…..
Aku pun dah hampir hilang akal….
Apa tidaknya…..
Aku pun gedik ajak anak,laki dan anak buah aku tengah malam buta ke sana….
7 Dec 2012 @ 23.55 hrs kami melangkah masuk dewan…
Orang ramai tapi masih ada space untuk berjalan….
Buku menimbun-nimbun…..
Tak sampai 5 minit kami dah terpisah….
Sorang kiri..dua kanan…dua tengah…..
Tujuan utama nak cari buku untuk anak…
Cari-cari punya cari….
Ntah kenapa hati tak berkenan pun…
Pelik!
Semua dapat buku sorang satu tapi Myya dapat 5…
Lepas 2 jam dah beratur nak bayar….
Humang aih! Panjangnya!
Maka dua anak buah yang dikasihi telah dipergunakan….muahahahaha
Pukul 5.15am baru dapat bayar….
Bayangkan berapa lama beratur….banyak kaunter tutup….hati sakit sangat!
Singgah mamak dulu pekena mee dan the tarik….
Eh…..dah dengar azan subuh…..
Berbaloi ke?
Dari segi harga dan kualiti buku memang berbaloi….
Tapi dari berhadapan dengan masa dan pengurusan memang hancur!

Update terbaru: Dikhabarkan operasi kaunter pembayaran telah di kemaskini jadualnya dan tempoh menunggu telah dapat dipendekkan. 

Ushar sampai mabuk!
Antara sasaran
Ini suasana pukul 3 pagi

Ini anak sampai Subuh melompat je......