Thursday, 20 December 2012

Zaman tentukan sikap anak


Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Biarpun dilahirkan dalam generasi berbeza, sebagai manusia kita mempunyai banyak persamaan.
Misalnya golongan veteran ialah nenek moyang kepada generasi X manakala Baby Boomer ialah datuk dan nenek atau ibu bapa kepada generasi Y dan Z.
Hari ini, kebanyakan generasi X sudah berumah tangga dan mempunyai anak-anak yang mewakili generasi Z, iaitu berusia di antara tiga tahun hingga 17 tahun.
Ada sesetengah pihak mendakwa generasi Y dan Z adalah anak-anak yang dimanjakan ibu bapa serta dipenuhi keperluan mereka, manakala pihak lain mengatakan generasi Y dan Z sangat kreatif, berakal dan berkeyakinan.
Namun bagaimana membentuk persekitaran golongan Y dan Z? Ini kerana rata-rata ibu bapa dibesarkan dalam persekitaran berlainan iaitu fasa kesukaran, berbeza dengan generasi berinternet Y dan Z yang seolah-olah hidup dalam dunia mereka sendiri. Bagi ibu bapa, mungkin sukar memahami apa yang anak-anak mahukan sehingga mencetuskan jurang antara mereka.
Menurut perunding keibubapaan yang juga penulis buku Mendidik Generasi Y dan Z, Jamilah Samian, ibu bapa harus mengetahui latar belakang era ketika anak dilahirkan. Ini kerana dengan memahaminya, mereka dengan lebih jelas menyediakan ruang dan peluang bagi mendedahkan anak-anak dengan pendidikan yang lebih sistematik, bersesuaian dengan perasaan mereka.

“Apa yang ibu bapa perlu tahu, generasi Y dan Z hidup dalam zaman yang semua perkara mampu dilakukan dalam masa singkat. Golongan ini makan di restoran makanan segera, mengunjungi pusat pelangsingan badan, makan pil kurus atau mahukan maklumat dalam masa yang pantas hanya dengan menekan kata kunci Google atau Wikipedia. Malah, mereka tidak perlu menyimpan duit mendapatkan sesuatu kerana semuanya mampu diperoleh menggunakan kad kredit,” katanya.

Keunikan generasi Y dan Z ini semakin jelas apabila mereka dibesarkan dalam zaman digital sehingga mereka makan dan tidur sambil melayan laman sesawang.
Secara tidak langsung, Internet meninggalkan kesan yang besar dalam kehidupan.
Pengaruh facebook dan twitter mempercepatkan perkembangan fikiran anak-anak menjadi lebih dewasa, e-mel pula merubah sepenuhnya cara golongan ini berkomunikasi antara satu sama lain.

Begitu juga YouTube yang membolehkan sesiapa saja berkongsi video secara terus untuk tatapan umum manakala sistem pesanan ringkas (SMS) memainkan peranan sangat penting meringkaskan perbualan menjadi padat dan pantas sehingga mengurangkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan rakan. Blog pula kini menjadi media utama dan diari anak remaja meluahkan apa saja yang terbuku di hati mereka.

“Keadaan ini menyebabkan sesiapa juga tidak mampu menolaknya kerana golongan Y dan Z serta generasi Alpha ini akan hidup dan bernafas dalam era teknologi.
Semakin muda umur mereka, semakin mudah mereka menerima barangan digital kerana dibesarkan dalam persekitaran terbabit dan sudah sebati dalam kehidupan seharian.

“Justeru, jangan terkejut sekiranya seawal usia tiga tahun, anak-anak sudah mahir menggunakan iPad dan telefon genggam serta mencari permainan video menerusi kata pencarian Google,” jelas Jamilah.

Namun kesannya apabila ibu bapa ketinggalan untuk sama-sama memahami perasaan anak-anak ketika ini akan wujud jurang komunikasi antara mereka sehingga boleh mencetuskan perbalahan jiwa sekiranya tidak dirungkai sebaiknya. Ini kerana generasi Y dan Z saban hari didedahkan dengan budaya ganjaran segera. Mereka dibesarkan dengan pemikiran ‘saya mesti dapatkannya sekarang’.

Ini disebabkan faktor persekitaran dan cara pembesaran ibu bapa yang menyediakan keperluan anak-anak tanpa perlu menunggu lama. Namun kajian menunjukkan anak-anak yang tidak dapat bersabar menunggu untuk mendapat apa yang dihajati sangat sukar untuk berjaya dalam hidup.

Justeru, apa yang boleh dilakukan penjaga adalah dengan menerapkan budaya ganjaran tertangguh kepada anak-anak. Kesenangan tertangguh tidak bermakna anak-anak tidak boleh mendapat apa yang dikehendaki mereka sebaliknya tidak untuk masa sekarang.

“Sekiranya ibu bapa mengajar budaya ganjaran segera kepada generasi Y dan Z, apa yang dilihat hanya apa yang ada di hadapan mereka dan bukannya lebih daripada itu. Mereka menyangka semua boleh didapati tanpa perlu menanti. Dalam hal ini, ada empat perkara yang perlu dipelajari iaitu bijak menunggu untuk mendapatkan wang sebelum membeli apa yang dihajati, berusaha mendapatkan apa yang diingini, menjaga kesihatan kerana ia amat penting dan belajar mewujudkan perhubungan mesra dengan keluarga,” jelasnya.

Selain itu, generasi Y dan Z juga cenderung memilih barangan mewah untuk menjaga imej disebabkan cara mereka dibesarkan dengan melihat kehidupan ibu bapa yang turut mementingkan jenama. Sepatutnya sejak kecil, anak-anak diajar mengenai nilai wang serta cara menyimpan sebelum berbelanja. Ini boleh dilakukan dengan mendidik mereka menabung dan berkongsi sebelum berbelanja.

Menurut Jamilah, mendidik generasi Y dan Z bukan hanya mendedahkan sifat sabar menanti ganjaran namun diterapkan dalam aktiviti seharian. Misalnya sejak kecil, asuh mereka menyelesaikan kerja rumah atau sekolah sebelum menonton televisyen atau bermain di taman. Jika mereka berjaya melakukannya, hargai usaha dengan mengeluarkan kata-kata semangat berbentuk motivasi. Jangan sesekali membuatkan mereka rasa terpinggir atau terasing.

“Kata-kata motivasi meninggalkan kesan ajaib kerana anak akan lebih terdorong untuk berusaha terutama dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran seperti menolong ibu memasak, berkebun, membaiki kereta atau motosikal. Sekiranya tidak diberi galakan, kemungkinan dia akan berhenti begitu saja.

“Begitu juga ibu bapa disaran tidak melabelkan kata negatif kerana boleh mengganggu pemikiran anak-anak. Pada masa sama, perkataan negatif membantutkan tumbesaran fikiran dan emosi mereka,” jelasnya.

Apa yang penting, ibu bapa harus sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak walau sesibuk mana sekali pun mereka. Misalnya dengan perkembangan Facebook, ibu bapa boleh menghantar status atau mesej bertanyakan perkembangan anak remaja dengan menjadikan mereka sahabat di alam maya, begitu juga dengan e-mel atau SMS.
Gunakan sepenuhnya apa yang menjadi kesukaan anak-anak.

Selain itu, makan bersama keluarga pada setiap malam sememangnya waktu sesuai mewujudkan hubungan erat. Ini kerana ketika ini bapa boleh bertanya masalah di sekolah dan anak bebas bercerita apa yang mereka ingin luahkan tanpa ada perasaan sangsi atau takut.

“Sebolehnya cari masa walaupun anda sibuk di pejabat kerana suasana santai di rumah mampu memberikan ruang komunikasi yang lebih efektif kepada anak-anak.
Mereka juga akan berasa sentiasa dihargai ibu bapa,” katanya.

Paling penting, kukuhkan silaturahim dengan ahli keluarga seperti sepupu, ibu dan bapa saudara, datuk atau nenek kerana hubungan yang terjalin ini akan memberikan nilai kekeluargaan yang bermakna kepada anak-anak. Mereka juga akan menjadi lebih bermotivasi melakukan sebarang perkara termasuk dalam pelajaran.

“Apa yang boleh dilakukan dengan perkembangan teknologi maklumat, setiap ahli keluarga boleh saling berhubung antara satu sama lain sama ada menerusi e-mel, Facebook, SMS atau Twitter. Tiada alasan mewujudkan jurang antara keluarga.

Jika boleh lakukan aktiviti keluarga setahun sekali supaya dapat mengeratkan perhubungan antara satu sama lain. Bagi keluarga baru, ajar anak-anak melakukan solat berjemaah kerana pelbagai kesan positif dapat diperoleh daripadanya,” katanya.


Anda tahu seseorang itu generasi Y dan Z apabila:
·  Bercakap menggunakan perkataan tertentu seperti ‘yo’, ‘bro’ atau ‘yosh’.
·  Boleh menggunakan iPad yang baru dibeli kala anda masih terkial-kial menggunakannya.
·  Membuat tugasan kolej atau universiti sambil bersembang dengan rakan lain di alam maya, mendengar lagu yang dimuat turun dan pada masa sama turut makan sandwic.


Panduan mendidik supaya anak sabar:

1. Selesai kerja rumah baru menonton televisyen.

2. Hargai usaha yang dilakukan anak-anak.

3. Reka kad ucapan terima kasih untuk ibu bapa atau guru kesayangan mereka.

4. Ajar anak supaya tidak terlalu terburu-buru.

5. Melatih membaca buku sebagai ganjaran tertangguh. Ini boleh dimulakan dengan:

  • Bacakan buku ketika sedang menyusukan anak dan sehingga mereka faham.
  • Mengadakan pertandingan membaca di rumah dan memberikan ganjaran bagi anak-anak yang berjaya menghabiskan buku yang dibeli.
  • Membaca buku mengikut bab demi bab.
  • Membawa anak-anak ke pesta buku dan biarkan mereka memilih buku pilihan mereka.
  • Pastikan ada buku di dalam kereta.
  • Dapatkan siri buku kegemaran anak pada setiap bulan.
  • Beli buku secara dalam talian.
  • Bina ruang membaca di rumah.
  • Dapatkan E-Book.
  • Pertimbangkan bahan bacaan komik selain buku atau majalah berilmiah.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18

No comments: