Source: Cikgu Hilmi
 
Cuti
 sekolah tiba lagi. Masa cuti yang panjang seeloknya dimanfaatkan dengan
 berkesan oleh adik-adik di rumah. Di sini saya nak cadangkan 20 
Aktiviti Cuti Sekolah Yang Paling Popular dan Bermanfaat untuk adik-adik
 lakukan sepanjang cuti sekolah ini. Buat ibu bapa pula, laburkanlah 
sedikit wang anda bagi pengisian yang bermakna buat anak-anak. Semoga 
cuti sekolah ini dapat terisi dengan sebaiknya!
 
01. Kem Motivasi
Kem
 Motivasi sememangnya antara program cuti sekolah yang paling banyak 
diadakan. Kem Motivasi yang diadakan ini terdapat dalam banyak kategori.
 Ada yang menumpukan kepada pembinaan sahsiah diri, kepimpinan, akademik
 dan pelbagai lagi. Pilihlah Kem Motivasi daripada penganjur yang 
dikenali dan dijamin keberkesanan programnya supaya anda juga berpuas 
hati dengan hasilnya nanti.
02. Kem Ibadah
Ini
 juga merupakan kem yang baik untuk adik-adik. Kem Ibadah selalunya akan
 dipenuhi dengan aktiviti dan program yang berkaitan dengan hal-hal 
ibadat seperti teknik solat yang betul, memperbaiki bacaan Al-Quraan dan
 aktiviti pemantapan iman. Malahan kini juga ada kursus pendek cuti 
sekolah bagi melatih adik-adik untuk mempelajari teknik menghafal 
Al-Quraan. Mudah-mudahan perkara asas agama ini dapat membimbing 
adik-adik melayari kehidupan ini ke jalan yang benar.
03. Klinik Sukan
Bagi
 adik-adik yang meminati sukan pula serta berhajat untuk meneruskan ke 
peringkat yang lebih tinggi, saya cadangkan adik-adik mengikuti Klinik 
Sukan. Klinik sukan memang banyak diadakan pada musim cuti sekolah, 
terutamanya bagi sukan-sukan popular seperti bola sepak, futsal, tenis, 
badminton, renang dan golf. Bagi yang berkemampuan, bolehlah melantik 
jurulatih peribadi bagi sukan kegemaran anak masing-masing.
04. Belajar ICT
Penggunaan
 komputer pada masa sekarang adalah amat meluas dalam kalangan 
anak-anak. Sekiranya itu adalah minat mereka, maka cubalah didik mereka 
untuk menggunakannya dengan cara yang berfaedah. Kelas seperti Grafik, 
Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps adalah perkara 
baru yang boleh memberi kelebihan kepada adik-adik. Mungkin dengan 
mengikuti kelas-kelas berikut membolehkan adik-adik mahir dalam 
menghasilkan bahan kreatif multimedia suatu hari nanti.
05. Kursus Pendek Bahasa
Ini
 juga merupakan kursus yang bagus untuk adik-adik. Mempelajari bahasa 
tambahan dapat memberi kelebihan buat adik-adik. Bagi yang lemah 
menggunakan Bahasa Inggeris, boleh ambil kursus Bahasa Inggeris yang 
banyak diadakan. Antara bahasa asing lain yang dicadangkan adalah Bahasa
 Mandarin, Bahasa Arab, Bahasa Jepun dan lain-lain bahasa utama dunia.
06. Kemahiran Bertukang
Kemahiran
 bertukang juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Adik-adik boleh 
mulakan dengan menghasilkan bahan-bahan mudah yang berguna seperti rak 
buku dan alat tulis. Kemudiannya dengan pengawasan daripada ibu bapa, 
adik-adik boleh mula menghasilkan bahan yang lebih besar, seperti 
bangku, reban ayam dan sangkar burung. 
07. Kraf dan Anyaman
Bagi
 adik-adik yang suka dengan kerja tangan, adik-adik bolehlah mencuba 
menghasilkan kraf atau pun menganyam. Kraf yang dihasilkan boleh terdiri
 daripada bahan kertas, plastik, besi dan juga bahan buangan. Boleh 
rujuk di dalam internet dan bahan bacaan bagaimana menghasilkan bahan 
kraf yang kreatif dan cantik.
08. Belajar Alat Muzik
Mempelajari
 penggunaan alat muzik juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. 
Tambahan pula jika adik-adik merupakan penggemar muzik. Mula lah belajar
 dengan menggunakan teknik asas terlebih dahulu. Jika berminat, 
adik-adik boleh teruskan ke tahap yang lebih tinggi. Alat muzik yang 
dicadangkan adalah gitar, piano, biola dan seruling.
 
09. Belajar Berenang
Bagi
 adik-adik yang masih belum boleh berenang, aktiviti ini adalah amat 
digalakkan. Tempoh sebulan sudah cukup untuk menjadikan adik-adik 
seorang perenang yang baik. Tak rugi jika sekiranya adik mempelajari 
kemahiran berenang. Malah jika berminat selepas ini, adik-adik boleh 
menjadikannya aktiviti riadah yang rutin.
10. Belajar Memasak
Bagi
 adik-adik perempuan, ini lah masa untuk belajar memasak terutamanya 
jika anda tinggal di asrama. Bermula lah dengan menolong ibu di dapur 
dengan masakan yang biasa dimasak oleh ibu. Jika berminat, teruskan lagi
 dengan mempelajari masakan dari buku resepi atau dari internet. Cuba 
juga belajar memasak jenis-jenis kek seperti kek keju, kek cawan dan 
sebagainya. Tentu lebih menarik kan?
11. Belajar Menari
Ini
 juga adalah satu aktiviti yang menarik. Adik-adik boleh peruntukkan 
masa cuti sekolah ini dengan belajar menari. Terpulang kepada adik-adik 
untuk mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional. 
Sekurang-kurangnya, adik-adik telah menambah satu lagi kelebihan kepada 
diri adik-adik. Selain daripada tarian yang disebutkan tadi, mungkin 
adik-adik juga boleh cuba Zumba, aerobik atau tarian kecergasan lain.
 
12. Berkebun
Berkebun
 memang menyeronokkan. Adik-adik boleh memilih sama ada untuk menanam 
pokok hiasan di sekitar rumah atau menanam sayur. Sekurang-kurangnya 
dapat juga sayur tadi digunakan untuk makan sendiri atau pun boleh 
dijual. Jika berkebun bagi tujuan untuk makan atau dijual, pilihlah 
daripada jenis yang cepat membesar dan memerlukan tempoh yang singkat 
untuk mengeluarkan hasil. Sempat juga adik-adik merasa hasilnya sebelum 
kembali ke sekolah.
13. Melancong
Bagi
 adik-adik dari keluarga yang berkemampuan, keluarlah pergi bercuti 
dengan keluarga. Aktiviti ini memang sangat menyeronokkan dan juga dapat
 membuka minda adik-adik. Selain daripada mengeratkan hubungan 
kekeluargaan, aktiviti ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan 
pengalaman adik. Antara pilihan yang baik untuk melancong adalah 
tempat-tempat bersejarah, tempat menarik, taman tema, pusat pelancongan 
dan tempat yang belum dilawati.
 
14. Sukan Ekstrem
Ada
 juga dalam kalangan adik-adik yang meminati sukan ekstrem. Jadi apakata
 gunakan masa cuti sekolah ini untuk mengasah lagi bakat adik-adik dalam
 sukan ini. Adik-adik boleh dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada 
mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang ini. Tapi ingat! Utamakan 
keselamatan anda sepanjang menyertai aktiviti lasak ini dengan memakai 
peralatan dan pakaian yang sesuai.
15. Bekerja Sambilan
Ini
 juga merupakan aktiviti yang menarik dilakukan semasa cuti sekolah. 
Bagi adik-adik yang berminat mencari duit poket, ini lah masa yang 
paling sesuai. Pastikan kerja yang dilakukan adalah selamat dan tidak 
menyalahi undang-undang. Ada kerja sambilan yang boleh dijalankan dari 
rumah dan ada juga yang di luar. Dapatkan kebenaran ibubapa terlebih 
dahulu. Jika niat dan tujuan adik-adik betul, inshaAllah ibubapa tak 
akan keberatan untuk membenarkan adik-adik bekerja sambilan semasa cuti 
sekolah ini.
16. Membantu Datuk dan Nenek di Kampung
Aktiviti
 menyeronokkan ini lebih bersifat kekeluargaan, namun ada banyak 
kebaikan dan manfaatnya. Bagi yang masih mempunyai datuk dan nenek di 
kampung, ini adalah masa terbaik bagi membolehkan adik-adik mempunyai 
pengalaman hidup yang berbeza. Cara hidup dan didikan di kampung dah 
tentu jauh beza dengan kehidupan bersama ibubapa di bandar. Banyak yang 
akan diperolehi, terutamanya hal-hal dalam melayani orang tua.
 
17. Menolong Ibu Bapa di Rumah
Adik-adik
 yang hanya berada di rumah, boleh juga membantu ibubapa ketika mereka 
keluar bekerja. Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan seperti mencuci 
pakaian, menyapu sampah, memasak, melipat pakaian dan lain-lain lagi. 
Sekurang-kurangnya kehadiran adik-adik di rumah sepanjang cuti dapatlah 
juga membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibubapa. Masa untuk 
berbakti.
18. Melakukan Kerja Amal
Selain
 daripada membantu ibu bapa, adik-adik juga boleh melakukan kerja amal. 
Tak perlu memikirkan dan menggerakkan satu kerja amal yang baru. Cukup 
lah sekadar mencurahkan bakti kepada badan amal kebajikan yang adik 
tahu. Ajak juga rakan-rakan bagi memeriahkan lagi aktiviti. Banyak kerja
 amal yang boleh dilakukan seperti membersihkan kawasan masjid dan 
kawasan perkuburan. Sertai juga badan kebajikan yang membantu memberi 
makanan kepada gelandangan. Rumah orang tua juga menarik untuk dijadikan
 tempat untuk kerja amal.
19. Baca Novel / Buku Ilmiah
Bagi
 adik-adik yang berminat dengan membaca buku, boleh juga meneruskan 
minat dengan membaca novel atau pun buku ilmiah. Pilih lah daripada 
senarai novel-novel berkualiti tinggi, supaya adik-adik dapat juga 
mempelajari teknik menulis yang baik. Buku ilmiah seperti ensiklopedia 
juga sangat bermanfaat untuk dihabiskan sepanjang cuti ini. 
Sekurang-kurangnya adik-adik akan dapat memperolehi ilmu pengetahuan 
baru yang berguna.
20. Ulangkaji dan Persediaan Tahun Depan
Mungkin
 ini adalah aktiviti cadangan musim cuti sekolah yang paling akhir saya 
utarakan, namun ada manfaat dan juga kelebihannya. Sekalipun mungkin 
agak membosankan kepada adik-adik, namun persediaan untuk tahun depan 
adalah amat penting. Apatah lagi jika pada tahun depan, adik-adik bakal 
berhadapan dengan PBSMR atau pun SPM. Maka sebaiknya, ambil sedikit masa
 untuk merancang apa yang akan adik-adik lakukan untuk tahun hadapan.
Ini
 lah serba sedikit 20 cadangan aktiviti cuti sekolah yang berguna dan 
bermanfaat kepada adik-adik dan juga ibu bapa. Manfaatkan cuti sekolah 
adik-adik dengan sebaiknya dengan sasaran mempunyai sekurang-kurangnya 
satu nilai tambah baru kepada adik-adik tahun depan. Kepada ibu bapa 
juga, tak perlu manjakan anak pada musim cuti sekolah dengan hanya 
membiarkan mereka menonton tv, bermain games dan melayari Internet 
sepanjang masa. Cubalah salah satu daripada aktiviti di atas, inshaAllah
 anda dan anak akan perolehi sesuatu yang bermakna cuti sekolah ini!








No comments:
Post a Comment