KITA berpantang dan mengawal tabiat
makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita
makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.
Hakikatnya, amalan mengawal tabiat
pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal
pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.
Tabiat pemakanan yang boleh
diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan
baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan
janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).
Petua menjaga kesihatan cara
Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia.
Sebagai mesin, ia
memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja,
tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.
Sebenarnya, menjaga dan mengawal
perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang
berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering
bermadah ‘lapar itu ubat’.
Mengambil makanan dalam kuantiti
banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan
sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.
Makanan dalam jumlah yang banyak
menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit
yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis
makanan yang masuk ke perut terkawal.
Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut
adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua
kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.
Baginda lebih mengutamakan makanan
lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu
hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si
fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya
‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti
kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”
Talbiinah ialah sejenis makanan
masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan
perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang
lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.
Makanan ini juga kaya serat dan
banyak membantu proses penghadaman.
Disiplin pemakanan yang diamalkan
Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu
yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak
penyakit menjadi semakin serius.
Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w
mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu
Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:
“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke
rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami
mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah
mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.
“Baginda berkata kepada Ali: Engkau
baru saja sembuh daripada sakit.
“Lalu Ali berhenti memakannya.
Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka
berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”
Larangan Rasulullah kepada Ali yang
baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis
di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang.
Buah-buahan yang sifatnya
mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.
Ketika baru pulih daripada sakit,
perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari
dalam perut dan badan.
Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan
Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat
menguatkan tubuh.
Namun, baginda membenarkan
pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar
menghilangkan keinginan.
Perkara menarik mengenai kaedah
makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada
satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat
panas dengan sejuk.
Dari segi komposisi makanan, baginda
tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu
atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.
Baginda juga tidak mengambil dua
jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan,
serentak.
Rasulullah tidak mengambil makanan
yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan
awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.
Kita juga patut mengelak mengambil
makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan
apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.
Rasulullah gemar makanan yang
mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil
buah-buahan sebagai makanan tambahan.
Mengenai madu, Nabi mempunyai
disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada
waktu pagi sebelum sarapan.
Madu dicampurkan dengan air dingin
sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem
pencernaan.
Selain jenis dan kuantiti makanan,
satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk
ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada
kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.
Postur badan penting dalam
menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan.
Contohnya, baginda melarang makan sambil bersandar sebagaimana
sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”
Baginda juga melarang minum sambil
berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus
dari segi minuman.
Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w,
makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu
kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik
untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai
aktiviti berat atau makan, kemudian minum.
Rasulullah s.a.w mempunyai petua
unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah
minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan
lebih menyihatkan.”
Maksud bernafas tiga kali ketika
minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau
seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas
ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:
“Jika seseorang di antara kalian
minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah
direnggangkannya dari bibir.”
Dan, pasti yang paling penting dan
mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’
(membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai.
Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.
Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang
patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak
disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak
pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka
ditinggalkannya.”
Justeru, semua orang tidak wajar
menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan
sihat. Mulakanlah sekarang!
Kepentingan menjaga pemakanan dapat
difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah
al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Sesiapa dalam keadaan badan sihat,
aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka
seolah-olah dunia ini miliknya.”
Source : Islamituindah.my
No comments:
Post a Comment