Rawatib berasal daripada perkataan ‘raatib‘ yang bermaksud berterusan. Oleh kerana itu Solat Sunat Rawatib dilakukan beriringan secara berterusan sebelum dan selepas solat fardhu lima waktu.
Solat Sunat Rawatib biasa juga disebut solat sunat Qabliyyah (sebelum) dan sunat Ba’diyyah (selepas). Ia merupakan pendamping atau pelengkap
bagi solat wajib yang bertujuannya untuk mencari keredaan Allah di
samping menampung sebarang kekurangan ketika melakukan solat fardhu.
.
Selepas azan Zuhur dianjur mengerjakan
solat Qabliyyah dua rakaat. Apabila cukup waktu kerjakanlah dua rakaat
lagi. Setelah selesai solat fardhu Zuhur, kerjakanlah solat Ba’diyyah
dua rakaat pula, bila ada masa tambahkanlah dua rakaat lagi.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka” (H.R. Abu Daud & Tirmidzi)
Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi r.a.)
Pada Solat Sunat Rawatib sebelum Asar
(Qabliyyah) adalah dua hingga empat rakaat manakala selepas Asar tidak
ada rawatib Ba’diyyah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka” (H.R. At-Tabrani)
.
Selepas solat fardhu Maghrib kita boleh
melakukan Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah sebanyak dua rakaat dan solat
Maghrib tidak ada Rawatib Qabliyah. Pada solat Isyak terdapat dua rakaat
Solat Sunat Rawatib Qabliyyah dan dua rakaat Ba’diyyah. Adapun untuk
solat Subuh, hanya ada dua rakaat sebelumnya (Qabliyyah), Solat Subuh
tidak ada Solat Rawatib Ba’diyyah malah makruh solat selepas subuh.
.
Terdapat beberapa hadis yang
menerangkan mengenai keutamaan Solat Sunat Rawatib. Jumlah yang mu’akkad
(digalakkan) ialah 10 raka’at atau 12 raka’at, dalilnya:
عَنِ
ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ حَفِظْتُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ
وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ
وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ
Dari Ibnu Umar bahawa; “Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat (sunat) 10 rakaat iaitu 2 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat sesudahnya Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat seusai Isyak (juga di rumah) dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.” (HR Bukhari-Muslim, Bukhari)
.
عَنْ
عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْ السُّنَّةِ
بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ
الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ
وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ
Dari Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa
yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah
SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)
.
.
Solat sunat Rawatib yang mu’akkad
- Solat 2 raka’at sebelum solat fardhu Subuh.
- Solat 2 raka’at sebelum solat fardhu Zuhur atau Juma’at.
- Solat 2 raka’at selepas solat fardhu Zuhur atau Juma’at.
- Solat 2 raka’at selepas solat fardhu Maghrib.
- Solat 2 raka’at selepas solat fardhu Isyak
.
Apabila ada kekuatan dan kelapangan
lakukanlah 12 raka’at Solat sunat rawatib yang sudah tentunya lengkap
dan sempurna. Jika kesibukan, cukuplah lakukan 10 raka’at sahaja.
.
.
CARA MENGERJAKAN SOLAT SUNAT RAWATIB
1. Cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib
ini sama seperti dengan cara mengerjakan solat Subuh, hanya niatnya yang
berbeza. Solat Sunat Rawatib Zuhur, berniat mengerjakan solat sunat
rawatib Qabliyyah atau Ba’diyyah dan dikerjakan dengan cara individu
(Munfarid, tidak berjamaah).
.
2. Niat Solat Rawatib:
a. Solat Sunat Rawatib Qabliyyah (sebelum)
Daku menunaikan solat sunat sebelum (Zuhur / Asar / Isyak / Subuh) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.
.
b. Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah (selepas).
Daku menunaikan solat sunat selepas (Zuhur / Maghrib / Isyak) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.
.
3. Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:
Rakaat 1: Surah al-Kafirun
Rakaat 2: Al-Ikhlas
.
.
Peringatan:
- Semasa melakukan takbiratul ihram solat sunat Rawatib, wajib diniatkan sama ada solat itu Qabliyyah atau pun Ba;diyyah.
- Solat sunat sebelum fardhu Subuh dan sebelum fardhu Asar tidak perlu disebut atau diniatkan Qabliyyah.
- Solat-solat sunat Rawatib ini tidak dituntut berjama’ah.
- Solat-solat sunat Rawatib lebih utama dikerjakan di rumah.
- Jika lebih 2 raka’at, lakukan tiap-tiap 2 raka’at satu salam.
.
.
Qada solat Rawatib
Nabi Muhammad SAW sangat mementingkan dan menjaga solat-solat sunat, terutama yang mu’akkad. Rasulullah SAW bersabda; “Dua rakaat sunat Subuh, lebih aku sukai daripada seisi dunia.” (Hadis riwayat Muslim)
Masuknya waktu solat sunat qabliyyah
adalah ketika masuknya waktu solat tersebut dan ianya berakhir setelah
masuknya waktu solat selepasnya. Apabila Rasulullah SAW tidak dapat
melakukan pada waktunya, Baginda SAW pasti akan mengqadakan solat
tersebut pada waktu berikutnya.
.
Daripada Aisyah r.a.; “Bahawa jika Rasulullah SAW tertinggal solat empat rakaat sebelum Zuhur, maka Baginda SAW melakukannya selepas Zuhur.” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)
Daripada Kitab ‘Mughni al-Muhtaj’; “Seandainya terluput akan solat sunat yang berwaktu, disunatkan mengqadakannya.” Maka solat sunat yang berwaktu boleh diqadakan sama seperti solat fardu.
.
by; shafiqolbu